Untitled Document
     

                       News & Event
 
 
   
 
Caj tambahan PTPTN bukan kadar faedah


Berita Harian   -    12 Julai 2006


PEMINJAM Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dinasihatkan agar tidak terkeliru dengan caj tambahan yang dikenakan ke atas pinjaman yang diberikan kepada mereka. Sumber Unit Penguatkuasaan Dan Kutipan Balik (UPKB), Bahagian Pinjaman Pelajar PTPTN, berkata caj tambahan yang dikenakan itu adalah termasuk dalam kadar tiga atau empat peratus yang dikenakan ke atas setiap peminjam.

Katanya, kadar itu juga bukan kadar faedah tetapi sebenarnya untuk menampung kos pentadbiran.

“Tidak timbul persoalan peminjam terpaksa menanggung caj tambahan dan peminjam sewajarnya memahami perkara itu,” katanya.

Sumber itu mengulas aduan seorang peminjam PTPTN dalam akhbar New Straits Times kelmarin yang mendakwa terpaksa menanggung faedah empat peratus dan kos pentadbiran RM36 sebulan.

Sambil menyifatkan faktor kekeliruan itu menyebabkan peminjam dana PTPTN tidak mengendahkan pembayaran balik, beliau berkata, caj itu hanya dikenakan kepada peminjam selepas enam bulan pelajar menamatkan pengajian atau sebaik saja mereka mendapat pekerjaan.

“Jika belum mendapat pekerjaan dalam tempoh itu, graduan hendaklah menulis surat kepada PTPTN untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman,” katanya.