Graduan Islam wajar ceburi bidang keusahawanan
UTUSAN MALAYSIA - 14 JULAI 2006
Oleh SAPORA SIPON
ANTARA cabaran besar negara dewasa ini ialah bilangan graduan menganggur yang agak tinggi jumlahnya. Dianggarkan kira-kira 20,217 graduan institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan.
Berdasarkan jumlah itu, dianggarkan kira-kira 70 peratus adalah graduan lulusan IPTA.
Antara penyebab kepada masalah ini dikatakan berpunca antara lainnya berikutan kebanyakan graduan tidak memenuhi keperluan pasaran pekerjaan terutamanya kemahiran dari segi keterampilan, kewibawaaan dan penguasaan bahasa.
Selain daripada itu, masalah pengangguran di kalangan graduan berpunca daripada subjek ataupun kursus yang diikuti graduan tidak sesuai dengan permintaan pasaran.
Kekurangan dari segi kemahiran dalaman seperti penguasaan bahasa, kebolehan, kewibawaaan dan seumpamanya juga dilihat sebagai punca mengapa pengangguran di kalangan graduan IPTA lebih tinggi daripada graduan IPTS.
Memahami dilema mereka yang belum memperoleh pekerjaan selesa yang dapat menampung kehidupan serta membalas budi dan jasa keluarga, amat perlu usaha berterusan dan berfokus dilakukan dalam memastikan bahawa apa yang dipelajari di universiti boleh dimanfaat sebaik mungkin.
Agama Islam amat memuliakan bidang perniagaan dan seperti mana yang kita tahu, Nabi Muhammad s.a.w merupakan seorang ahli perniagaan yang amat berjaya.
Islam juga amat mengutamakan perniagaan yang diredhai tanpa menggunakan tipu helah.
Kerajaan tidak pernah berdiam diri dalam menangani isu graduan menganggur. Keprihatinan kerajaan melalui pelbagai usaha banyak memberi dorongan kepada graduan untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
Peluang-peluang yang diwujudkan ini amat perlu direbut oleh graduan terutamanya graduan Melayu demi kesejahteraan hidup dan untuk meningkatkan peratus pegangan ekonomi kaum Melayu.
Kepesatan negara memberi ruang dan peluang untuk graduan berusaha mencari tapak dan seterusnya memacukan bidang perniagaan.
Tidak siapa dapat menafikan bahawa bukan mudah untuk memulakan perniagaan. Tanpa modal, semangat dan usaha yang gigih, tentunya kejayaan dalam bidang perniagaan sukar untuk dicapai.
Namun, apa pun pekerjaannya, kalau tidak ada kesungguhan dan melalui perit getirnya, tentu sukar untuk berjaya. Tanyalah kepada ahli-ahli perniagaan Melayu yang berjaya akan resipi kejayaan mereka.
Lantaran itu, graduan perlu menggunakan peluang untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan juga selari dengan prinsip Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Tentunya ilmu yang dipelajari semasa di universiti boleh dimanfaat dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
Kekuatan ekonomi yang ada pada orang Islam kelaknya boleh dijadikan sebagai satu mekanisme berdakwah seperti mana yang dilakukan oleh bangsa lain.
Seperti mana yang dikatakan, pelbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan graduan bumiputera untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Melalui penglibatan graduan dan siswazah dalam bidang keusahawanan, secara tidak langsungnya ia akan mengatasi masalah ini selain mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru.
Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, contohnya turut menjalankan program-program meningkatkan penyertaan siswazah dalam bidang keusahawanan.
Usaha-usaha yang bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan pemahaman yang jelas kepada mereka yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan keusahawanan Islam sama ada dari segi asas dan konsep perlaksanaannya sentiasa dilakukan oleh agensi-agensi yang berkaitan.
Selain itu, usaha-usaha untuk memberikan pendedahan dan kesedaran kepada graduan berkaitan peluang, cabaran, dan isu-isu semasa dalam bidang keusahawanan serta menyediakan platform dan ruang kepada peserta untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan industri dan usahawan-usahawan yang berjaya serta mendedahkan kepada mereka realiti dan peluang kerjaya dalam bidang ini perlu dipergiatkan.
Islam amat menggalakkan umatnya untuk mencari rezeki dalam bidang keusahawanan. Graduan perlu berani menceburkan diri dalam bidang ini supaya dapat bersama-sama meningkatkan ekonomi umat Islam supaya tidak lagi umat Islam dipandang hina kerana kemiskinannya. |